Wednesday, September 29, 2010

CIRI-CIRI TASAWWUR ISLAM: AL-IJABIYYAH


Taha Mohd Omar
Pelajar Ijazah Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam.
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
USM Pulau Pinang
Sesi 2010/2011


Tasawwur Islam mempunyai ciri-ciri tertentu. Salah satu daripada ciri-ciri tersebut ialah al-Ijabiyyah. Ia berasal daripada perkataan arab ajaba yang bermaksud positif atau kesan yang positif dalam kehidupan manusia. Pengertian ini kemudian diperincikan lagi oleh Sayyid Qutb (1986 : 245) al-Ijabiyyah adalah hubungan positif antara manusia dengan Allah, manusia sesama manusia dan manusia dengan alam.

Hampir sama dengan pengertian Sayyid Qutb (1986) ini ialah pengertian yang dikemukakan oleh Ghazali Basri (2008: 152). Walau bagaimanapun Ghazali Basri menfokuskan al-Ijabiyyah itu sebagai satu konsep yang membawa maksud bersikap positif terhadap kemanfaatan alam ini sahaja.

Selain itu, Haron Din (1992:119) berpendapat bahawa al-Ijabiyyah bermaksud adanya hubungan dua hala yang positif antara Khaliq (pencipta) dengan makhluq (manusia) dan juga hubungan antara penganut Islam dengan Islam itu sendiri.

Berdasarkan kepada pengertian-pengertian di atas, disimpulkan bahawa Islam adalah agama positif dan memberikan kesan yang positif dalam kehidupan manusia terutama dalam hubungannya dengan Allah dan sesama manusia.
Tujuan Allah s.w.t menciptakan manusia adalah semata-mata untuk mengabdikan diri kepadanya. Oleh sebab itu segala perlakuan dan tindakan seorang manusia akan dihitung oleh Allah s.w.t dan semuanya akan
dipersoalkan di akhirat nanti. Untuk persediaan akhirat, Allah s.w.t telah menjadikan dunia ini tempat untuk manusia melakukan amalan kebaikan.

Termasuk dalam amalan kebaikan ini ialah memanfaatkan setiap perkara yang dicipta oleh Allah dalam alam semesta ini bagi tujuan untuk beribadat kepadaNya. Allah s.w.t berfirman:

يأيها الناس اعبدوا ربكم الذي خلقكم و الذين من قبلكم لعلكم تتقون* الذي جعل لكم الأرض فراشا

و السماء بنآء و أنزل من السمآء مآء فأخرج به من الثمرات رزقا لكم, فلا تجعلوا لله أندادا و أنتم

تعلمون *

Maksudnya, “Wahai manusia, sembahlah Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan yang telah menciptakan orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa. (Allah s.w.t) yang menjadikan untuk kamu bumi sebagai hamparan dan langit yang terbina teguh dan Dia telah menurunkan daripada langit air (hujan) lalu keluarlah dengannya buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu, maka janganlah kamu menjadika bagi Allah s.w.t itu sembahan yang lain sedang kamu mengetahui”
(Al-Baqarah 2: 21-22).

Ayat ini menerangkan tentang konsep al-Ijabiyyah. Melalui konsep ini hidup manusia itu mempunyai hubungan positif dengan alam dan juga dengan pencipta alam, iaitu Allah. Allah s.w.t berfirman.

و ما خلقت الجن و الأنسان ألا ليعبدون
Maksudnya: “Dan aku (Allah) tidak menciptakan jin da manusia melainkan mereka wajib beribadat kepadaKu”. (Dzariyaat 51: 56).

Hubungan manusia dengan Allah s.w.t adalah berasaskan ibadat kepadaNya,
dalam perkataan lain mentaati segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Allah s.w.t berfirman lagi.

يا ايها الذين أمنوا ان تنصروالله ينصر كم
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jikalau kamu menolong (beramal atas) agama Allah s.w.t maka dia akan menolong (memenuhi keperluan) kamu”. (Muhammad 47: 7).


Dalam erti kata lain, manusia diciptakan oleh Allah s.w.t supaya beribadat kepadaNya. Walau bagaimanapun manusia bukan hanya diperintahkan untuk beribadat sahaja sehingga meninggalkan segala perkara berbentuk keduniaan. Allah s.w.t tidak pernah melarang hambaNya dari mencari harta, tetapi ia hendaklah berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Hal ini adalah untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.
Sebenarnya manusia juga berperanan sebagai khalifah di muka bumi ini. Sebenarnya ini bukanlah suatu hubungan biasa, bahkan hubungan atau perjanjian yang telah lama dibuat sejak di alam-arwaah lagi. Allah s.w.t berfirman.

أ لست بربكم * قالوا بلى شهدنا
Maksudnya: “Bukankah aku tuhan kamu? Maka jawab roh, ya kami menjadi saksi”. (al-A'raaf, 7:172)

Mengenai ayat ini Ahmad Ibrahim Abu Sin (1997: 9) menjelaskan bahawa Pengakuan dan pengiktirafan itulah menyebabkan Allah s.w.t mengurniakan kepada manusia muka bumi ini untuk diperintah dan membangunkannya. Manusia dibekalkan dengan kuasa dan kemudahan agar manusia sentiasa bersyukur dan mengingati Allah.

Hubungan manusia sesama sendiri pula digambarkan sebagai satu umat yang bersatu padu. Kewajipan manusia untuk beramal mengikut ajaran agama, bukanlah terhad kepada diri sendiri sahaja bahkan ia juga merangkumi semua manusia yang berada dalam sesebuah masyarakat. Demikian ini telah dijelaskan dalam al-Quran.

و أمر اهلك بالصلوة و اصطبر عليها
Maksudnya : Dan suruhlah keluarga kamu mengerjakan solat dan bersabarlah dalam melakukannya. Di dalam ayat ini kita diarah oleh Allah s.w.t untuk mengambil berat tentang keluarga, ini bererti hak-hak manusia lain juga perlu difikirkan. (Taha 20:132)


Manusia hidup di dunia ini dalam bentuk sebuah masyarakat. Perkara ini tidak dapat dinafikan bahawa tidak ada seorang insan pun yang dapat hidup di dunia secara sendirian. Manusia sering memerlukan antara satu sama lain, tidak kira sama ada dalam bentuk hubungan adik-beradik atau hubungan seagama.

Kebahagian dan kekukuhan sesebuah keluarga atau masyarakat bergantung kepada sejauh mana bahagia dan eratnya hubungan individu-individu ini. Ini akan berlaku apabila hak-hak antara mereka dijalankan mengikut panduan yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Sebarang pekerjaan dan tindakan, selagi ia selaras dengan nilai Islam dan memberi manfaat kepada dirinya dan masyarakatnya, semuanya akan dihitung sebagai amal soleh. Keadaan inilah yang menggalakkan manusia berbuat baik sebanyak mungkin kerana ia tahu bahawa akhirnya yang menjadi perhitungan di akhirat ialah amal solehnya.(Ghazali Basri, 2008:153)

Hubungan manusia dengan alam ialah bagaimana manusia dapat menguruskan alam sehingga ia dapat alam memberi faedah dan kemudahan kepada manusia. Allah s.w.t berfirman.

و جعلنا نومكم سباتا * و جعلنا لليل لباسا * و جعلنا النهار معاشا
Maksudnya : Dan kami telah menjadikan tidur kamu sebagai benda untuk kamu berehat. Dan kami telah menjadikan malam itu sebagai penutup ( kerana kegelapannya). Dan kami telah menjadikan siang itu untuk mencari (rezeki) kehidupan. (an-Naba 78: 9-11)

Alam ini telah diciptakan untuk berkhidmat kepada manusia, daripada matahari yang terbit setiap pagi hinggalah udara yang disedut setiap saat. Semuanya adalah nikmat yang diciptakan oleh Allah s.w.t untuk kemudahan manusia.

Mengikut akidah seorang Muslim, dunia ini dan segala sumbernya tidak dapat memenuhi keperluan dan kepuasan manusia, Hal ini kerana kehidupan dunia bukanlah kehidupan yang kekal abadi, akan tetapi akhiratlah tempat tinggal asal.

Dalam pembentukan sikap seorang Muslim, walaupun ia tahu tentang risiko yang dihadapi semasa berada di dunia ini, namun dunia tidak pernah dianggap sebagai tempat bebanan. Sebaliknya seorang Muslim akan berusaha untuk melakukan sesuatu agar memperbaiki keadaan sekitarnya menerusi pendidikan, da’wah dan jihad dalam konteks amr ma’ruf nahi munkar , kerana ia tahu di sini akan ada lagi ruang untuknya meraih kejayaan (al-falah). (Ghazali Basri 2008: 153)
Kesimpulannya, berdasarkan konsep al-Ijabiyyah di atas, didapati ia ada kaitan rapat dengan pembangunan berteraskan Islam (PBI). Dalam konsep al-Ijabiyyah perkara yang ditekankan adalah hubungan tiga hala. Pertama ialah hubungan Allah s.w.t dengan manusia, kedua manusia sesama manusia dan ketiga manusia dengan alam.

Ketiga-tiga perkara ini jugalah merupakan tapak bagi setiap aspek kehidupan manusia dan sekali gus menjadi acuan yang membentuk teori PBI. Dari sinilah lahirnya enam prinsip teori PBI yang lain. Misalnya, sebagaimana yang telah dibina oleh Muhammad Syukri Salleh (2003: 13-14) bahawa prinsip teori PBI yang kedua (manusia sebagai pelaku pembangunan) lahir dari tasawwur Islam yang meyakini bahawa manusia adalah makhluk Allah s.w.t. Prinsip teori PBI yang ketiga (alam roh, alam dunia dan alam akhirat adalah skala waktu pambangunan), keempat (ilmu fard ‘ayn sebagai kerangka pembangunan), kelima (ibadah sebagai perkaedahan pembangunan), keenam (sumber alam sebagai peralatan pembangunan) yang lahir dari tasawwur Islam meyakini bahawa alam semesta adalah makhluk Allah s.w.t. Manakala prinsip teori PBI yang ketujuh (marda-tillah sebagai matlamat pembangunan) pula berhubung rapat dengan tasawwur Islam yang meyakini bahawa Allah s.w.t adalah pencipta.














Bibliografi

Haron Din (1992). Tasawwur Islam. Shah Alam: Hizbi.

Ghazali Basri (2008). Dinamika Tasawwur Islam, Dalam Pembentukan Keperibadian Umat. Seri Begawan, Brunei: Terbitan Kolej Universiti Perguruan Ugama (KUPU).

Ahmad Ibarahim Abu Sin (1997). Pengurusan Dalam Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Syukri Salleh (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn Bhd.

Sayyid Qutb (1986). Muqawwimat al-Tasawwur al-Islami. Syria: Dar al-Shuruq.









1 comment: